Monday, July 14, 2008

Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah

"   Mahasiswa Peneraju Ummah Keunggulan "
اَلْحَمْدُ لِلّهِ الَّذِي زَيَّنَ كَمَالَ الْهِمَّةِ فِى عُقُوْلِ الشَّبَابِ، وَاَعِزَّ بِهِمُ اْلأُمَمِ بَعْدَ أَنْ جَهَدُوْا أَنْفُسَهُمْ عَلَى طَرِيْقِ الْهُدَى وَالثَّوَابِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Marilah sama-sama kita meningkatkan usaha untuk lebih bertakwa kepada Allah SWT kerana sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya. Bertaqwalah dengan ikhlas dengan menepati kehendak-Nya, semoga kita peroleh keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Suka mimbar Jumaat pada minggu ini membawa tajuk “Mahasiswa Peneraju Keunggulan Ummah.”
Menurut Profesor Dokter Yusof Al-Qardhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor pada masa kini berkata: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur "بَلْدَةٌُ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُوْرٌ", tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku. Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang.”
Sidang Jumaat Yang Dihormati Sekalian,
Peranan dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak ia mula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada kesuatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat. Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.
Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia lapan belas tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.
Peranan golongan muda juga telah disebut di dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh sebagai golongan muda yang bersikap berani mempertahankan akidah daripada seorang raja yang zalim. Firman Allah SWT di dalam surah al-Kahfi ayat 13 hingga 14:
Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”
Sidang Jumaat yang Berbahagia,
Mahasiswa pada hari ini memainkan peranan yang cukup besar dalam mencorakkan masa depan negara. Tanggungjawab yang mereka mainkan tidak sewajarnya mencakupi rutin seorang pelajar sekolah rendah atau sekolah menengah, pagi ke kelas, petang pulang bermain bola dan malam menyiapkan asainmen. Kerana hakikatnya mahasiswa punya ruang dan lapangan lebih luas untuk memainkan peranan kemahasiswaannya merentasi sempadan pengajaran dan pembelajaran. Sisa-sisa masa yang tidak diisi dengan baik akan melahirkan pemuda yang rosak, seperti bunyinya pepatah Arab, ‘Air yang tidak mengalir akan merosakkan air tersebut, dan pemuda yang tidak bergerak ( banyak masa kosong ) akan dibunuh oleh masa kosong itu.’ Ini juga bertepatan dengan saranan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam majlis amanatnya di Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini yang menyeru mahasiswa agar keluar daripada kepompong dan kesempitan minda dan tingkah yang diciptanya sendiri.
Sidang Jumaat yang Dihormati Sekalian,
Sesungguhnya pada diri mahasiswa itu terdapat beberapa ciri yang meletakkannya sebagai golongan terbaik yang mampu menjadi agen perubah masyarakat dan penjunjung agama bangsa. Pertamanya, mahasiswa itu sifatnya berdarah muda. Pada mahasiswa itu terdapat suatu hamasah atau semangat yang tak terpadam, suatu kekuatan dan ketumbukan yang apabila dikumpul dan disepadukan, tidak akan lagi mampu dihalang oleh apa-apa benteng buatan manusia. Yang keduanya mahasiswa itu bebas, tidak terikat pada mana-mana parti, kerajaan atau pembangkang, organisasi atau badan bukan kerajaan. Mahasiswa itu paksi perjuangannya adalah kebenaran, keadilan sejagat, kebajikan dan kebaikan untuk mahasiswa itu sendiri. Dan yang ketiga, berteraskan kepada sifat yang kedua itu tadi, ialah sifat mahasiswa yang melakukan analisis dan respon terhadap isu berdasarkan amanah ilmu dan penilaian akademik mereka sendiri.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati,
Lemahnya mahasiswa pada hari ini adalah kerana hilangnya beberapa nilai yang sepatutnya ada pada diri mereka. Mahasiswa pada hari ini tidak lagi berjiwa besar, berkobar-kobar untuk membuat perubahan, mencipta kegemilangan dan membangunkan anak watan. Mahasiswa pada hari ini tidak ada solidariti dan kesatuan, membawa dan membahas isu secara analitis dan kritis, mahasiswa pada hari ini tidak sensitif dengan apa yang berlaku di dunia luar malah apa yang berlaku di depan mata mereka sendiri. Paling menyedihkan, mahasiswa pada hari ini tidak lagi membudayakan ilmu, malah malas membaca walaupun senaskhah akhbar. Suka mimbar Jumaat pada hari ini menguji, berapa ramai di antara kita yang menyedari, runtuhnya Kg. Suluk baru-baru ini yang terletak berhampiran dengan Masjid Bandaraya, menyebabkan puluhan bayi dan kanak-kanak hidup terbiar, tidak berbumbung daripada hujan dan panas. Berapa ramai di antara kita yang bersuara melalui saluran yang disediakan menentang agenda hiburan dan melanggar prinsip dan etiket kemahasiswaan, malah berapa ramai mahasiswa yang mengetahui hakikat, bahawa negeri Sabah adalah negeri termiskin, dengan ribuan rakyatnya hidup melarat dan menderita, mencari erti kehidupan melalui sesuap nasi? Mahasiswa pada hari ini terus subur dalam kabur, mengenangkan masalah bas, PTPTN, makanan yang mahal di kafeteria, dan perkhidmatan wayarles yang tidak sampai ke biliknya.
Sahabat-sahabat Seperjuangan,
Mimbar Jumaat pada hari ini mengambil peluang ini menyeru agar kita mencelikkan mata dan minda, menjadi peladang-peladang yang mengerjakan bumi UMS dan Sabah yang subur ini dengan benih-benih ilmu, kesedaran dan ketakwaan. Malah, gunakanlah ruang yang ada di Universiti ini melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti kemahasiswaan dan berbakti kepada warga negara, dan jauhkanlah diri daripada budaya ’tidak pedulisme’ agar mahasiswa pada hari ini benar-benar menjadi peneraju kepada keunggulan ummah.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
(Surah Ali-Imran ayat : 104)
Bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ, أَقُولُ قَوْلِي هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

0 comments: