Thursday, August 7, 2008

Pelajar oh Pelajar!

“Ini yang saya maksudkan, ustaz. Macam mana ustaz boleh sabar melayan kerenah pelajar sebegitu lama? Saya yang baru balik Malaysia dua tiga tahun pun sudah lost touch dengan pelajar ini”, sampuk Zaki, sahabat saya.

Saya tersenyum. Kemudian termenung.

“Sama ada ana banyak pengalaman dalam dunia pelajar, atau ana yang tak berkembang… dah tua-tua ini pun masih berjiwa pelajar. Jiwa budak-budak!”, saya menjawab.

Kami ketawa.

“Buruk benarlah pula kebarangkalian kedua tu!”, kata Mas pula.

Sebulan dua ini, saya sangat banyak terlibat memberi kursus kepada pelajar. Ada pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar kolej persediaan, malah juga pelajar universiti. Sekurang-kurangnya saya kelegaan kerana penglibatan saya dengan pelajar sekolah rendah sudah berada di tahap yang sangat minimum. Saya sesungguhnya mengalah dan cuba mengelak sedaya mungkin daripada memberikan kursus kepada murid-murid sekolah rendah kerana usaha ‘menurunkan diri’ ke tahap sekolah rendah amat meletihkan.

Pelajar-pelajar yang saya temui amat pelbagai.

Ada pelajar pemalu, yang lelakinya lebih pemalu dari perempuan. Ada pelajar dari kawasan pedalaman yang amat-amat baik hati budinya, tetapi tiada keinginan untuk cemerlang. Ada juga pelajar-pelajar yang matang mengatasi usia, ada juga pelajar-pelajar elit dan sedang terawang-awang dalam sangkaan belaian ‘elitisma’nya.

Kesemuanya mengajar saya tentang realiti.

Ia memperlihatkan kepada saya betapa besarnya jurang di antara pelajar di sekolah-sekolah bertuah, berbanding sekolah-sekolah ‘ketulah’ yang serba malang! Struktur sosial masyarakat kita semakin tidak seimbang. Ada pelajar yang berangan-angan mahu mengambil alih kerusi PM, ada juga yang sekadar mahu bekerja dengan TNB kerana saban hari menerima inspirasi dari pencawang elektrik di tepi lorong lumpur kampungnya. Yang kaya dan berkemampuan, sangat tinggi terbang dan impian, yang tidak berada pula sangat sederhana dan rabun jauh hingga kabur melihat masa depan.

Apa pun, berprogram bersama pelajar tetap memberikan lebih kepuasan kepada saya berbanding ‘remaja tua’ yang lebih mengangguk dari bersetuju.

PERUBAHAN DIRI

Namun saya sedar akan beberapa perubahan pada diri ini semenjak setahun dua kebelakangan.

Saya semakin mudah melenting dan hilang sabar dengan kerenah pelajar! Itulah yang ketaranya.

Jika dulu, saya mampu melayan kerenah seorang pelajar mengada-ngada yang telah sedia dipulau oleh kebanyakan rakannya, kini saya amat mudah tersirap darah apabila pelajar membuat hal. Ada kemungkinan keadaan ini adalah kesan daripada terjahan-terjahan email dan panggilan telefon yang merungsingkan. Nombor telefon saya semakin tersebar ke sana sini, dan saya ‘diganggu’ hingga jam 2 pagi, semata-mata kerana seorang pelajar hilang point tatkala berdebat dengan rakan atheistnya!

Itu belum lagi soal pelajar meminta saya membuat kerja sekolah mereka!

Dulu saya sabar dan masih tersenyum. Kini ia susut dan merosot.

Apakah kerana saya sudah semakin beransur tua dan terjarak dari usia pelajar? Atau mungkin sahaja pelajar semakin bermasalah dan parah? Bisa sahaja kedua-duanya.

PUNCA-PUNCA KELAKUAN TIDAK BAIK

Setelah belasan tahun mengendalikan pelbagai program pembentukan pelajar, setelah ribuan pelajar saya saksikan diri mereka di dalam dan di luar program, saya sudah dapat mengenal pasti beberapa faktor yang amat signifikan dalam menentukan keberkesanan program yang saya kendalikan.

Tidak bermaksud membuat generalization yang melulu, ia adalah analisa saya terhadap pemerhatian keseluruhan selama ini.

LOGISTIK

Umumnya, jika saya dikehendaki menyampaikan ceramah motivasi kepada pelajar di dewan sekolah, saya pasti akan keletihan dan goyah semangat. Dewan yang besar, sistem audio yang lemah, suhu dewan yang panas, susunan kerusi yang tidak ergonomik, serta kedudukan saya yang jauh dari peserta di belakang… menjadi bebanan yang sering menyebabkan program dewan tidak cemerlang.

Saya lebih suka jika program diadakan di dalam bilik kuliah ala-ala kelas kerana pelajar sendiri akan secara langsung merasakan bahawa mereka duduk dalam suasana pembelajaran. Dewan selalunya tempat guru berleter dan ucapan-ucapan rasmi yang membosankan. Mana mungkin dewan dapat menandingi kemesraan suasana kelas!

HUBUNGAN PELAJAR

Jika program diadakan untuk pelajar yang saling mengenali, bersekolah di sekolah dan kelas yang sama, maka selalunya pelajar ini akan berada di dalam majlis dengan mood yang lebih ceria. Akan tetapi jika pelajar ini dikumpulkan atas faktor persamaan tempat kerja ibu bapa, atau kerana hal-hal lain yang tiada kena mengena dengan pelajar, maka mereka tidak begitu mengenali justeru hadir dengan mood yang sangat hambar.

Oleh itu, saya perlu bekerja keras untuk permainan ice breaking. Tetapi risau juga apabila guru sekolah berkerut dahi kerana mungkin menyangkakan yang saya sengaja melewatkan ceramah lantaran kekurangan modal!

ELITISMA

Saya menghadapi masalah apabila berdepan dengan pelajar-pelajar elit.

Sama ada kerana ibu bapa mereka yang elit, atau sekolah mereka elit, atau penaja mereka elit, perasaan tinggi ala-ala cream of the cream yang disuntik kepada diri pelajar-pelajar ini menyebabkan mereka sukar didekati.

Semacam ada benteng antara saya dan mereka. Pelajar yang ada unsur-unsur elitisma ini mempamerkan wajah yang menjatuhkan semangat penceramah apabila mereka endah tidak endah kepada apa yang penceramah cuba sampaikan.

Mujurlah saya tanpa segan silu bercakap di dalam bahasa Inggeris yang dianggap sebahagian dari rukun elitisma itu. Mujur juga saya banyak pengalaman di negara Eropah, mujur juga saya bukan pelajar corot di dalam PMR dan SPM, maka saya mempunyai modal yang cukup untuk menundukkan ego pelajar elit yang sombong itu!

Bukan menundukkan mereka kepada saya. Tetapi menggunakan segala ‘anasir-anasir elitisma’ saya untuk menundukkan elitisma mereka, agar sama-sama dibawa tunduk dan merendahkan diri kepada Allah. Hanya dengan Tuhan sahaja, manusia terbang tinggi ini dapat direntap kembali memijak bumi.

“Hampir hilang semangat juga tadi!”, saya bercakap jujur. Termengah-mengah selepas habis lima slot semenjak pagi.

“Kenapa ustaz?”, tanya fasilitator.

“Sedang kita memberi sepenuh jiwa dan raga untuk bercakap, ada pelajar yang membaca surat khabar!”, saya tidak berselindung.

Nampak cemas juga di wajah fasilitator.

Alhamdulillah saya sudah lali dengan kerenah pelajar. Tetapi bagi yang tidak biasa, tidak mustahil majlis ceramah ditinggalkan begitu sahaja. Baru usia setahun jagung sudah angkuh berlagak tahu.

TETAP PUJAAN HATIKU

“Walaupun dirimu tidak kukenal, namun lubang hidongmu tetap menjadi pojaan hatiku!”, kata Ajis di dalam filem Seniman Bujang Lapok.

Agaknya begitulah saya dengan pelajar.

Biar pun pelbagai kerenah mereka di dalam program saya, pelajar jugalah yang memberikan kepuasan setiap kali saya berprogram.

Mereka responsif.

Mereka belum keras membuluh.

Rebung mereka adalah sinar harapan.

Demi sebuah perubahan pada minda dan sikap bangsaku, bangsa Muslim yang satu.

Pelajar oh pelajar! Kerana dirimu begitu berharga…


dipetik daripada....
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

56000 Kuala Lumpur

0 comments: