Kembara di laut gersang ini
Sejak ku bertatih di muka bumi
Menumpang di kapal yang disebut paling sempurna
Di antara kapal-kapal lain yang sehaluan dengannya
Sebermula pengembaraan ini,
Ku masih dan terus mencari erti
Ertinya pada sebuah perjuangan suci
Ertinya pada sebuah damai abadi
Di balik kuntuman memori indah
Di balik tautan murni barakah dan rahmah
Kakiku sering terhenti daripada melangkah
Dek tajam dan nistanya budi bahasa dan tohmah
Di celah lipatan selimut ukhuwwah
Ku perlahan membawa diri
Demi mencari ruang memperbaiki
Menyusun kusut-masai di fikiran
Membezakan semula yang mana kawan yang mana lawan
Yang mana aku berhadapan dan yang mana tempat ku menagih sokongan
Sungguh ku sedar lemahnya peribadi
Aku bukan nakhoda yang gagah menentukan haluan
Bukan juga panglima terhebat yang memimpin pasukan
Aku hanya teritip yang menempel bak parasit
Aku hanya kerikil di celahan kasut mujahid yang mencari syahid
Mujur
Saat tika ku hampir tersungkur
Muncul di langit kelam dan awan kabur
Kelibat sekilas Cahaya
Makin ku pandang ia makin terang
Meredakan gelisah dan mengundang tenang
Lalu ku cuba berpaut pada Cahaya itu
Lagi dan lagi ku lancarkan apa yang ku sangka panah islah dan hidayah
Dengan busur kasih dan mahabbah
Agar aku dan Cahaya itu
Seiringan dan sehaluan
Hingga ke hujung perjalanan
Tapi sering sasaran ku tak mengena
Melencong, menyakiti dan mencedera
Bahana salah cara diluncur panah
Dan gelap pekat dosa sang pemanah
Terus Cahaya menjadi kilat
Sabung-menyabung, menyambar dan membakar
Lalu kurebah, menunggu langit cerah semula
Lalu ku yakin dan percaya
Kalau seluruh anak kapal menghumban aku ke tengah samudera
Akan ku timbul dan berenang semula
Selagi di langit ada Cahaya
Tetapi andai guruh berdentum dan langit bermuram durja
Lantas tak kelihatan lagi Cahaya
Aku pasti lemas dan tenggelam ke dasar lautan
Biarpun anak kapal berusaha menyelamatkan
Wahai diri,
Sungguh-sungguh perlu kau belajar bergantung pada Tuhan
Dan wahai Cahaya,
Kau harus kuat
Berdepan dengan kata-kata dan fitnah
Berdepan dengan ujian dan musibah
Berdepan dengan aku,
Kerana hakikatnya,
Aku masih seorang pengembara
Friday, July 25, 2008
Kembara Di Laut Gersang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Sungguh puitis madah yang disusun dengan makna yang menyentuh hati. Inilah hakikat perjuangan. Tidak selamanya indah.
Adakalanya kita ketawa bersama namun jangan kecewa jika kita menangis tanpa teman setia kerana Dia sentiasa ada mendengar keluhan hambanya.
Andai sudah terhakis kepercayaan kepada sahabat yang lain, ana doakan nta bertemu 'cahaya' yang mampu memberi sirna dalam langkah perjuangan memburu damai abadi. Teruskan langkahmu wahai pemuda
Alhamdulillah, Cahaya dah ada, malangnya Cahaya sedang menyambar dan membakar
Diri harus percaya padaNya,
dengan keyakinan yang tiada dua.
Moga janganlah Cahaya itu sirna, kerna hidup tanpa Cahaya yang itu seakan-akan diri mati sebelum pergi.
Semoga yang longlai akan teguh semula.Berdiri kembali di bumi ini,bagi membuktikan diri ini masih hidup lagi.
Jangan biarkan diri umpama ana.
Yang tidak lagi percaya pada teman setia.
Yang ada kini hanyalah nilai kemanusiaan yang masih berbaki. Membukti diri masih ber'hati'. Terus cuba mencurah bakti.
Membantu AKU untuk berDIRI dan HIDUP di jalan ini.
Ana doakan anta bahagia dan berjayalah ye..
Rupanya ada yang terlebih dahulu merasa perit derita bergantung pd manusia..tp dia masih teguh mencurah bakti..ya Allah,jadikan aku sepertinya..
Post a Comment